Roti Susu

Pesta sehari laut terbelah Pesta sehari laut terbelah
“IA boleh digambarkan seperti laut terbelah sehingga menampakkan beting pasir,” kata penduduk Pulau Pangkor, Mazwin Teh Abdul Rahman, 37. Dia berkata demikian menggambarkan keadaan... Pesta sehari laut terbelah

“IA boleh digambarkan seperti laut terbelah sehingga menampakkan beting pasir,” kata penduduk Pulau Pangkor, Mazwin Teh Abdul Rahman, 37.

Dia berkata demikian menggambarkan keadaan fenomena air surut habis yang berlaku pada Februari setiap tahun di Pulau Pangkor.

Fenomena itu membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan.

Ia hanya berlaku pada Februari dan musim perayaan Tahun Baharu Cina, sekali gus menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau peranginan itu.

Penduduk Pulau Pangkor, Mazwin Teh Abdul Rahman, 37, berkata, jarak Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam kira-kira 400 meter dan mengambil masa 10 hingga 15 minit berjalan.

“Tetapi tak semua hari akan surut sepenuhnya, hanya sehari saja yang surut habis. Pagi semalam (kelmarin) air surut paras buku lali dan mengikut jadual air pasang surut, jam 12.02 tengah hari (semalam) air akan surut sepenuhnya (0.0 meter).

“Biasanya air mula surut bermula jam 11 hingga 12 tengah hari dan kami akan pulang sebelum air mula pasang serta sentiasa berhati-hati,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Februari menjadi bulan yang ditunggu-tunggu penduduk setempat kerana fenomena itu hanya berlaku sekali saja dalam setahun pada bulan berkenaan.

“Memang ramai yang datang ke sini terutama pada hari cuti macam pesta di sini, tapi perlu rujuk jadual dahulu untuk periksa paras surut air.

“Fenomena ini juga beri kesempatan kepada penduduk mencari gamat di celahan batu karang, kadang-kadang boleh dapat lima kilogram gamat,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Nor Mazlan Mohd Salleh berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti laut.

Katanya, selain itu, orang ramai juga perlu memastikan air benar-benar surut serta berjalan dalam kumpulan di lokasi berkenaan.

Sumber – Hmetro

Shares