Kes Pukul Anak Angkat, Usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri lega sudah selesai

Datuk Seri Aliff Syukri

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri memaklumkan kes pukul anak angkatnya, Aminah Alip Syah sudah selesai apabila mahkamah memutuskan dia tidak bersalah.

Aliff menerusi laman sosialnya pada Khamis membuat perbandingan anak kandungnya Ibraheem Adham hanya mengembangkan hidung sebagai tanda bersalah, namun jika perkara yang sama terjadi kepada anak angkatnya itu, orang ramai akan menuduh dia mendera kanak-kanak berkenaan.

“Budak lasak jatuh motosikal Ibraheem Adham dan dia akan kembangkan hidung tanda dia bersalah.

“Kalau Aminah kena (cedera) mahu kes polis. By the way, kes Aminah mahkamah dah putuskan yang saya tak bersalah hanya berunsur fitnah!” tulisnya. Aliff maklumkan mengenai kes itu dalam muat naik di Instagram.

Bersama kapsyen tersebut dia turut berkongsi foto anak kandung ketiganya, Ibraheem yang mengalami kecederaan pada wajah selepas terjatuh daripada motosikal.

Pada Mac lalu, Aliff didakwa memukul anak angkatnya berusia dua tahun dalam satu kejadian yang berlaku di kediamannya yang terletak di Petaling Jaya pada 28 Februari lalu.

Difahamkan pembantu rumah kepada pengasas produk Dherbs itu sendiri yang melaporkan kepada pihak polis sehari selepas kejadian tersebut.

Sebelum itu, tular video dan salinan laporan polis yang yang turut tertera nama Datuk Seri Aliff Syukri dan anak angkatnya Aminah Alip Shah.

Sementara itu, menerusi ruangan komen rata-rata pengikut turut gembira dengan perkhabaran tersebut dan berharap penyanyi lagu Cuba Bahagia ini akan terus menyayangi Aminah seperti anak kandungnya sendiri.

Aliff Syukri dan Nur Shahida berkahwin pada tahun 2007. Pasangan ini dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Ammaar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham dan Yusoff Al Qardawy dan Raudhah Arshiyah serta seorang anak angkat. – Mstar